Tag: masalah tidur

7 TIPS UNTUK MENDAPATKAN TIDUR YANG BERKUALITI

Untuk menjaga kesihatan tubuh badan yang baik adalah penting untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Tidur yang mencukupi akan memberikan badan kita masa dan tenaga untuk pulih daripada ketegangan hari sebelumnya dan membantu kita untuk kekal cergas dan fokus sepanjang hari. Jika anda sukar untuk mendapatkan tidur yang berkualiti seperti kerap terjaga ketika tidur atau tidak selesa, pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengembalikan ketenangan waktu tidur anda.

 

Tetapkan Jadual Waktu Tidur Setiap Hari

Sangat penting bagi setiap kita menetapkan waktu tidur yang sama setiap hari. Malah di hujung minggu serta hari cuti juga perlu mengikut masa tidur yang telah ditetapkan. Sebagai contoh setiap hari kita tetapkan masa pukul 10 malam untuk tidur. KSetiap malam kita mengikut waktu yang ditetapkan membuatkan badan anda terbiasa dengan kitaran jadual tidur tersebut.

Jaga Makan dan Minum Anda

Jangan masuk tidur jika berasa lapar atau terlampau kenyang. Rasa tidak selesa akibat terlalu lapar atau terlalu kenyang waktu malam akan membuatkan anda kerap terjaga. Selain itu, tabiat merokok, minum kopi dan alcohol sebelum tidur juga akan mengganggu tidur anda. Ini adalah kerana kesan rangsangan nikotina, kafein dan alkohol akan mengambil masa berjam-jam untuk hilang dan akan mengganggu tidur berkualiti anda.

Membaca Buku Dan Mendengar Muzik

Lakukan perkara yang menenangkan anda setiap malam sebelum tidur. Aktiviti seperti membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan akan memberikan peringatan kepada badan untuk berehat setelah penat seharian. Selain itu, elakkan menggunakan peralatan elektronik seperti telefon bimbit sebelum masuk waktu tidur.

Berada Dalam Keadaan Selesa

Hias bilik tidur dengan gaya yang sesuai untuk tidur seperti lampu tidur yang malap dan warna cat bilik yang menenangkan. Tilam dan bantal yang berkualiti amat penting. Pilih tilam dan bantal mengikut keselesaan anda.

Hadkan Tidur Waktu Petang.

Tidur petang yang panjang boleh mengganggu waktu tidur yang sepatutnya terutama penghidap insomnia. Hadkan waktu tidur petang selama 10 hingga 30 minit sahaja dan hanya pada waktu rembang petang.

Uruskan Tekanan Dengan Baik

Tekanan terutamanya di tempat kerja boleh menyebabkan seseorang susah untuk tidur kerana banyak berfikir. Belajar untuk menguruskan tekanan di sekeliling seperti menjadi seorang yang lebih teratur dalam hidup dengan membahagikan perkara yang penting dan kurang penting.

Temui Doktor.

Hampir semua orang kadang-kadang mengalami masalah untuk tidur tetapi jika ia terlalu kerap berlaku sehingga mengganggu kualiti hidup, ia mungkin tanda penyakit atau masalah-masalah lain. Oleh itu dapatkan bantuan doktor dengan segera.