Tag: masalah displin di sekolah

LANGKAH MENANGANI MASALAH DISPLIN PELAJAR

Sedar tidak sedar masalah disiplin pelajar ini didapati semakin bertambah setiap tahun. Masalah disiplin pelajar bukan sahaja menyusahkan diri pelajar tetapi juga ibu bapa dan pihak sekolah. Dalam menangani masalah disiplin pelajar ini, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak.

 

Peranan Pihak Sekolah

Dalam mengatasi masalah disiplin pelajar, pihak sekolah patut memainkan peranan utama. Pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang sewajarnya di atas masalah disiplin di sekolah. Pihak disiplin sekolah mesti berfungsi dengan baik dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Pelbagai program mesti diadakan untuk menangani masalah displin pelajar seperti mengadakan program membentuk pelajar cemerlang, pelajar bersahsiah dan pelajar cemerlang dalam akademik. Selain itu, pihak sekolah juga boleh meminta bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PlBG) dalam menangani masalah disiplin pelajar.

Peranan Kementerian Pelajaran

Kementerian Pelajaran juga boleh mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani masalah disiplin pelajar di sekolah. Hal ini kerana pihak Kementerian Pelajaran mempunyai kuasa untuk menggubal peraturan baru bagi memperbaiki masalah disiplin pelajar. Kementerian Pelajaran juga mesti memantau keadaan disiplin pelajar di sekolah pada setiap masa. Tindakan Kementerian Pelajaran meminta kerjasama pihak polis dalam menangani disiplin pelajar adalah tindakan yang baik. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran hendaklah mengambil tindakan yang tegas kepada pihak pentadbiran sekolah yang cuba menyembunyikan masalah disiplin pelajar di sekolah mereka.

Peranan Ibu Bapa

Di samping itu, pihak ibu bapa juga perlu membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin pelajar kerana banyak masa pelajar dihabiskan di rumah bersama ibu bapa. Justeru, ibu bapa perlu memberikan nasihat yang sewajarnya kepada anak mereka untuk mengamalkan nilal-nilai murni di sekolah dan tidak melanggar peraturan sekolah. Di samping itu, ibu bapa juga mesti bertanyakan anak-anak tentang masalah yang dihadapi di sekolah dan cuba membantu mereka untuk menyelesaikannya.

Peranan Pelajar Sendiri

Selain itu, pelajar itu sendiri mestilah mengamalkan nilai-nilai murni ketika berada di sekolah. Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh pelajar ialah baik hati, bertolak ansur dan mematuhi peraturan sekolah. Jika semua pelajar mengamalkan nilai murni, maka tiadalah masalah disiplin di sekolah. Pelajar juga mesti sedar tanggungjawab mereka kepada sekolah dan ibu bapa. Selain itu, didikan agama yang kukuh pasti dapat membantu pelajar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

JENIS KESALAHAN DISPLIN SERING DILAKUKAN DI KALANGAN PELAJAR

Sekolah memainkan peranan penting untuk mendidik para pelajar. Namun adakalanya semasa belajar di sekolah pelajar tidak terlepas dalam melakukan masalah displin. Malah pada suatu ketika masalah disiplin pelajar ini dikatakan semakin serius dan bertambah setiap tahun. Isu disiplin pelajar ini tidak harus dipandang ringan oleh ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya. Jika masalah disiplin pelajar ini tidak ditangani, pasti banyak pihak akan menghadapi masalah. Sebenarnya terdapat beberapa jenis kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar di sekolah.

 

Ponteng Kelas

Antara jenis kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar sekolah ialah ponteng kelas. Pelajar yang ponteng kelas ini akan melepak atau bersembunyi di tempat tertentu di dalam kawasan sekolah. Pelajar juga kerap ponteng kelas apabila sesuatu mata pelajaran tersebut tidak disukai atau mereka tidak menyukai guru mata pelajaran tersebut. Kegiatan ponteng kelas ini perlu ditangani dengan segera oleh pihak sekolah kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada suasana pembelajaran di sekolah.

 

Vandalisme

Kesalahan lain yang sering dilakukan oleh pelajar ialah vandalisme atau perbuatan merosakkan Harta benda sekolah. Sewajarnya semua pelajar menjaga harta benda sekolah dengan baik kerana kerajaan telah mengeluarkan wang yang banyak untuk menyediakan kemudahan sekolah. Kemudahan yang dirosakkan oleh segelintir pelajar akan mendatangkan masalah kepada pelajar lain. Antara harta benda sekolah yang selalu dirosakkan oleh pelajar ialah kemudahan yang ada dalam tandas seperti kepala paip dipatahkan dan pintu tandas dipecahkan. Sikap pelajar yang suka merosakkan harta benda sekolah ini perlu dihentikan oleh pihak sekolah kerana sikap ini akan mendatangkan pelbagai masalah dan pihak sekolah akan mengalami kerugian.

 

Bergaduh

Di samping itu, pergaduhan juga merupakan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar. Antara sebab berlakunya pergaduhan di sekolah ialah tuduh-menuduh antara pelajar akibat kehilangan sesuatu seperti wang atau barang berharga. Pergaduhan boleh mengakibatkan kecederaan yang akan menyebabkan pihak sekolah terpaksa menghantar pelajar berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan bertulis kepada Jabatan Pelajaran. Oleh itu, pihak sekolah mestilah membanteras sikap suka bergaduh di kalangan pelajar terutama pergaduhan yang melibatkan kaum.

 

Merokok

Terdapat juga pelajar yang merokok di sekolah. Pelajar yang merokok sebenarnya telah melanggar peraturan sekolah dan boleh dibuang sekolah jika tertangkap. Pelajar yang merokok ini biasanya mempunyai tahap disiplin yang lemah dan selalu mendatangkan masalah Selain itu, terdapat juga pelajar yang sering datang lewat ke sekolah atau ponteng sekolah. Kebanyakkan pelajar yang datang lambat disebabkan mereka tidur lewat. Terdapat juga pelajar yang datang lewat kerana mereka menghisap rokok di tempat tertentu terlebih dahulu sebelum masuk sekolah.