Tag: budaya membaca

FAKTOR MENYEBABKAN PELAJAR KURANG MINAT MEMBACA

Isu-isu yang berkaitan dengan aktiviti membaca di kalangan pelajar kerap dibincangkan. Hal ini kerana aktiviti membaca di kalangan pelajar masih kurang.  Terdapat beberapa faktor yang menjadikan seseorang pelajar itu kurang minat membaca.

 

# Sikap Malas Pelajar

Antara sebab pelajar kurang membaca ialah sikap pelajar itu sendiri. Ramai pelajar menganggap membaca sebagai satu aktiviti yang tidak menyeronokkan dan membosankan. Sikap ini harus dihindar oleh pelajar kerana sikap ini akan merugikan diri sendiri. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memberikan kesedaran kepada pelajar tentang kebaikan membaca.

 

# Lebih Minat Menonton Televisyen

Televisyen juga menjadi penyebab kepada sikap pelajar yang kurang membaca. Ramai pelajar lebih cenderung untuk menonton rancangan televisyen daripada membaca apabila ada masa lapang. Pelajar suka menonton rancangan hiburan yang kurang berfaedah kepada pelajar. Pelajar hanya membaca apabila menjelang hari peperiksaan sahaja.

 

# Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu sebab pelajar kurang membaca. Pelajar pasti kurang membaca apabila berkawan dengan rakan yang kurang membaca. Lazimnya, pelajar yang kurang membaca lebih suka menghabiskan masa lapang dengan melepak atau melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Pelajar yang kurang membaca juga cenderung menghabiskan masa lapang mereka dengan bermain.

 

# Sikap Keluarga   

Di samping itu, sikap keluarga juga boleh menjadi penyebab pelajar kurang membaca. Sebagal contoh, ibu bapa kurang menasihati anak-anak jika mereka kurang membaca. Bahan-bahan bacaan untuk anak juga jarang dibeli oleh ibu bapa. Apa yang lebih mendukacitakan lalah ibu bapa sendiri tidak mengamalkan budaya membaca ketika berada di rumah.

 

# Sikap Pihak Sekolah

Sikap pihak sekolah juga menjadi penyebab pelajar kurang membaca. Pihak sekolah kurang memberi kesedaran kepada pelajar tenting kebaikan membaca. Kempen membaca yang dijalankan di sekolah juga tidak menyeluruh dan tidak berterusan. Selain itu, pengetua dan guru-guru sendiri kurang menunjukkan sikap rajin membaca, justeru pelajar tidak mendapat contoh yang baik untuk diteladani.

CARA MENGGALAKKAN MINAT MEMBACA DI KALANGAN MASYARAKAT

Membaca merupakan amalan mulia yang perlu ada di kalangan masyarakat. Dengan mengamalkan budaya membaca diharapkan rakyat akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Budaya membaca ini masih dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat walaupun, isu ini kerap dibincangkan dalam media massa. Oleh itu, beberapa cara perlu dilaksanakan agar aktiviti membaca menjadi budaya masyarakat.

Budaya membaca perlu bermula dari rumah kerana ibu bapa merupakan pihak pertama yang berupaya membentuk budaya membaca seseorang individu. Suasana keluarga juga amat mempengaruhi anak-anak terutama daripada segi amalan membaca. Oleh itu, ibu bapa wajar membelikan buku untuk bacaan anak-anak sejak mereka kecil lagi.. lbu bapa boleh membaca bersama anak-anak kerana aktiviti sebegini menyeronokkan anak-anak dan ia dapat menggalakkan anak-anak membaca.

Selain keluarga, masyarakat juga berperanan mempengaruhi generasi muda agar gemar membaca. Masyarakat mesti menjadikan aktiviti membaca sebagai budaya hidup seharian. Aktiviti membaca semasa menunggu bas dan ketika dalam kenderaan seperti yang dilakukan oleh rakyat Jepun patut diamalkan oleh masyarakat di negara kita kerana aktiviti ini banyak kebaikannya. Dengan melakukan aktiviti pembacaan pada setiap masa, maka akan terbentuklah masyarakat yang berilmu.

Selain itu, Kementerian Pelajaran juga boleh memainkan peranan. Contohnya, Kementerian Pelajaran boleh menggalakkan aktiviti membaca di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai pertandingan yang berbentuk ilmu pengetahuan seperti pertandingan kuiz dan pertandingan mengarang. Pihak Kementerian Pelajaran juga perlu melengkapkan perpustakaan sekolah dengan buku-buku yang menarik dan berkualiti bagi mendorong pelajar untuk membaca. Pada setiap perhimpunan mingguan, pengetua sekolah wajar mengingatkan pelajar tentang budaya membaca dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan program yang dapat menimbulkan minat membaca di kalangan masyarakat. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperbanyakkan perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di kampung-kampung yang tiada perpustakaan awam. Sesungguhnya, sesebuah negara akan maju jika masyarakat mempunyai banyak pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Media massa juga boleh memainkan peranan dalam membentuk budaya membaca. Hal ini kerana media massa dapat mempengaruhi minda penonton atau audiens. Oleh itu, pihak media massa perlu menyokong usaha kerajaan untuk membentuk budaya membaca dalam masyarakat seperti menyiarkan rencana tentang kebaikan membaca. Pada masa yang sama, harga surat khabar dan majalah juga mestilah berpatutan dan mampu dibeli oleh semua golongan masyarakat.