Info, Panduan & Inspirasi OH!LABU.COM

Category: Bijak Kewangan

CARA MEMBUAT SENARAI SEMAK BELANJAWAN BULANAN DENGAN BERKESAN

Untuk membuat senarai semak belanjawan, kita boleh membahagikan perbelanjaan mengikut beberapa kategori. Kategori perbelanjaan yang dimaksudkan ini adalah seperti pertama Perbelanjaan Harian, kedua Bayaran Tetap Bulanan, Ketiga Bayaran Tetap Tahunan dan Keempat Bayaran Sekali Sekala Secara Sekali Gus (tidak menentu).

  1. PERBELANJAAN HARIAN
  • Makanan – Keperluan Harian, Makanan Di Tempat Kerja, Sesekali Keluar Makan Di Luar
  • Pengangkutan – Petrol, Tambang Kenderaan
  • Anak-Anak – Wang Saku
  • Masa Lapang – Akhbar, Hiburan
  • Keperluan Bilik Mandi – Sabun, Syampu, Ubat Gigi, Berus Gigi Atau Kertas Tisu
  • Alat Tulis
  • Keperluan Rumah – Lampu, Serbuk Atau Cecair Pencuci, Pembersih Lantai

 

  1. BAYARAN TETAP BULANAN
  • Sewa/Bayaran Ansuran Perumahan
  • Kemudahan – Gas, Bekalan Elektrik, Air Dan Telefon
  • Bayaran Ansuran Kereta
  • Bayaran Kepada Tanggungan
  • Tambang Bas Sekolah
  • Isnsuran – Nyawa Dan Rumah

 

  1. BAYARAN TETAP TAHUNAN
  • Cukai Jalan Kereta Dan Insurans
  • Cukai Tafsiran Dan Cukai Tanah

 

  1. BAYARAN SEKALI- SEKALA SECARA SEKALI GUS (TIDAK MENENTU)
  • Percutian
  • Perayaan
  • Pembaikan Dan Penjagaan Rumah, Peralatan Keperluan Rumah
  • Perbelanjaan Perubatan
  • Hobi
  • Pakaian
  • Kasut

3 PANDUAN MERANCANG PERBELANJAAN UNTUK TEMPOH SETENGAH TAHUN

ANGGARKAN JUMLAH PENDAPATAN ANDA. Anggaran yang dimaksudkan adalah gaji yang dibawa pulang selepas menolak cukai, KWSP dan PERKESO, tambahan wang yang diperolehi seperti sewa bilik di rumah anda, faedah yang dibayar ke atas simpanan, deviden daripada pelaburan, komisen daripada kerja lebih masa atau apa sahaja sumber yang boleh ditambah kepada pendapatan yang boleh dibelanjakan.

 

AGIHKAN PERBELANJAAN. Untuk membuat perancangan kewangan yang baik adalah perlu mengagihkan perbelanjaan mengikut perbelanjaan harian, bayaran tetap sekali gus dan bayaran sekali sekala secara sekali gus.

 

Perbelanjaan harian ini perlu meliputi barangan makanan, minuman, barangan yang dapur dan petrol.

 

Manakala bayaran tetap sekali gus adalah seperti bayaran bulanan (seperti premium insurans nyawa, bil elektrik dan air, ansuran pinjaman kereta), simpanan bulanan untuk tabung kecemasan dan pendidikan, dan bayaran tetap tahunan seperti cukai jalan dan premium insurans kereta.

 

Seterusnya, bayaran sekali sekala secara sekali gus seperti membaiki kenderaan rosak, peralatan rumah rosak atau percutian keluarga. Perbelanjaan seperti ini berlaku sekali sekala dan corak penggunaannya agak berbeza daripada tahun sebelumnya.

 

SENTIASA SEMAK BELANJAWAN SETIAP BULAN. Menyemak belanjawan setiap bulan adalah amat penting kerana sebahagian daripada anggaran itu boleh berubah mengikut keadaan. Contohnya jika seseorang hilang pekerjaan maka perlu merancang perbelanjaan baru atau mengubahsuai perbelanjaan sedia ada. Tetapi jika masih bekerja, seseorang itu hanya perlu mengemas kini perbelanjaannya. Oleh iitu, semak dan kemaskini perbelanjaan anda dari semasa ke semasa seperti 3 bulan sekali.

 

Dengan merancang perbelanjaan ini sudah pasti anda akan tahu ke mana wang gaji dibelanjakan. Selain itu, anda boleh mengurangi pembelian yang tidak perlu dan menambah simpanan untuk masa mendatang.

4 CARA MERANCANG PERBELANJAAN BULANAN ANDA DENGAN BERKESAN

Kenal pasti kedudukan kewangan semasa anda. Langkah pertama adalah pastikan anda mengetahui tahap kedudukan kewangan semasa anda. Mulakan dengan mencatat jumlah gaji yang ada setiap bulan. Langkah ini penting untuk mengetahui berapakah jumlah sebenar pendapatan bersih bulanan sebelum berbelanja.

 

Senaraikan Semua Jenis Perbelanjaan anda. Untuk mengetahui kemana perginya wang anda setiap bulan adalah sangat penting untuk menyenaraikan semua perbelanjaan yang dibuat setiap bulan.  Lebih mudah jika anda mengasingkan perbelanjaan mengikut perbelanjaan harian, bayaran tetap sakali gus dan bayaran sekali-sekala secara sekali gus.

Contoh perbelanjaan harian yang perlu disenaraikan adalah membeli barang keperluan seperti makanan dan minuman. Begitu juga dengan barangan keperluan lain seperti barangan dapur, petrol dan sebagainya.

Bayaran tetap sekali gus adalah termasuk seperti bayaran bulanan sewa rumah, bil elektrik, bayaran semula pinjaman, bayaran cukai tahunan dan sebagainya.

Manakala bayaran sekali-sekala secara sekali gus pula ialah seperti membaiki kenderaan dan penjagaan isi rumah.

Dengan cara menyenaraikan semua perbelanjaan bulanan tadi, anda sudah mendapat banyangan terhadap kemana perginya wang gaji anda belanjakan setiap bulan. Seterusnya anda dapat mengetahui jumlah perbelanjaan sebenar anda setiap bulan berbanding pendapatan bulanan anda. Jika perbelanjaan bulanan melebihi pendapatan bulanan itu petanda anda menghadapi masalah kewangan yang serius.

 

Tetapkan matlamat yang jelas terhadap kedudukan kewangan anda pada masa depan. Kini anda sedar akan masalah anda berpunca daripada tabiat berbelanja bulanan melebihi pendapatan. Jadi, bagaimana cara anda mengatasi masalah ini?

 

Langkah awal yang boleh anda ambil adalah menanyakan pada diri sendiri apakah yang anda mahukan pada masa depan? Adakah mahu bebas hutang dalam tempoh setahun? Adakah anda mahu mempunyai simpanan yang mencukupi dan tidak perlu risau soal kewangan? Atau anda mahukan dalam tempoh 3 tahun mampu mengumpul wang untuk membayar wang muka membeli rumah?

 

Ya. Anda perlu jelas matlamat kewangan masa depan anda. Senaraikan matlamat anda itu dan anggarkan jumlah yang perlu dijimatkan untuk mencapai matlamat tersebut. Pastikan ia adalah matlamat yang anda fikir realistik untuk dicapai. Menetapkan matlamat yang realistik ini sangat penting kerana jika matlamat yang ditetapkan terlalu tinggi, anda mungkin berasa kecewa dan mudah menyerah kalah.

 

Merancang strategi mencapai matlamat kewangan yang lebih baik. Untuk mencapai matlamat tersebut, anda perlu mengurangkan perbelanjaan atau merendahkan sedikit matlamat anda.

Kurangkan perbelanjaan bukan bermaksud terpaksa melepaskan beberapa perkara. Cuma untuk berbelanja kena bijak mendapatkan harga barangan yang kita mahukan dengan harga yang termurah dari kebiasaan. Sebagai contoh jika sebelum ini anda biasa membeli syampu mandi yang lebih mahal dari sabun mandi, maka adalah lebih baik untuk memilih membeli sabun mandi yang lebih murah daripada membayar syampu mandian yang agak mahal.

Selain itu, jika matlamat anda mahu menjimatkan RM1000 setahun mungkin adalah lebih baik mengurangkan 3 bungkus rokok sehari atau berhenti untuk membeli nombor ekor 4 kali seminggu. Perkara ini sudah pastinya dapat mengelakkan pembaziran wang anda setiap bulan.

 

Anda juga perlu membezakan dia antara perbelanjaan perlu, barangan yang ditangguhkan dan mana-mana barangan yang tidak diperlukan. Jadi kurangkan pembelian anda. Potonglah sehingga perbelanjaan bulanan anda tersebut kurang daripada pendapatan setiap bulan.

Rendahkan matlamat adalah bermaksud anda perlu bersikap realistik. Ingat bahawa bukan semua orang boleh memiliki kereta mewah Mercedes. Lihat apa yang anda telah sedia ada dan banyakkan bersyukur.

Jika anda mempunyai ramai anak sudah tentu anda tidak dapat membelanjakan wang sama seperti rakan anda yang masih bujang. Sudah pasti anak-anak anda yang perlu diutamakan. Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketepikan dalam berbelanja.

 

Kesimpulannya adalah tujuan merancang perbelanjaan adalah untuk memastikan anda berbelanja kurang daripada gaji yang anda perolehi setiap bulan dan mempunyai masa depan kewangan yang kukuh.  Ingatlah, dengan belanjawan yang baik, anda boleh mengawal hidup anda. Anda tidak perlu lagi meminjam dari bank, syarikat kad kredit, pemberi pinjaman wang dan pajak gadai.

OH LABU © 2018 Frontier Theme